Latar Belakang

Kolej Komuniti Santubong pada mulanya ialah cawangan kepada Kolej Komuniti Mas Gading. Oleh itu pada awal pengoperasiannya, kolej ini dikenali sebagai Kolej Komuniti Cawangan Santubong (KKCS) di kalangan komuniti setempat. Ia telah mula beroperasi pada bulan Januari 2008 dengan menyewa 4 unit rumah kedai 3 tingkat di Blok B, Demak Laut Commercial Centre di Jalan Bako, Kuching.

Peringkat awal

Pada peringkat awal penubuhan KKCS, program yang ditawarkan ialah Sijil Pelancongan. Namun, setelah diperincikan semula, KKCS diamanahkan untuk menawarkan Program Pendawaian Elektrik pada tahun 2009. KKCS merupakan satu-satunya Kolej Komuniti di Sarawak yang menawarkan program yang berlatarbelakangkan kejuruteraan elektrik dan membuat pengambilan pelajar yang pertama pada Sesi Januari 2009.

Penubuhan Kolej Komuniti Santubong

KKCS akhirnya berdiri dengan ‘kaki sendiri’ pada tahun 2012 dan mula dikenali sebagai Kolej Komuniti Santubong. Sejak penubuhannya pada tahun 2008 sehinggalah sekarang (2021) terdapat 6 orang Pengarah telah menerajui Kolej Komuniti Santubong.

Tahun 2010

Pada tahun 2010, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) telah mewujudkan satu program yang dikenali sebagai Sijil Modular Kebangsaan (SMK). Program SMK ini telah menggantikan program STE dan pihak kolej telah membuat pengambilan pertama SMK Pendawaian Elektrik pada Julai 2010. Program modular ini merupakan program sepenuh masa dan setiap modul memerlukan tempoh pengajian selama 4 bulan.

Sijil Pemasangan Elektrik

Sijil Pemasangan Elektrik (SPE) pula mula ditawarkan di Kolej Komuniti Santubong pada sesi Julai 2013. Tempoh pengajian untuk SPE ialah selama 20 bulan (5 semester). Bermula Sesi Jun 2018, SPE telah menggunakan silibus kurikulum yang terkini dan ditukarkan kepada Sijil Teknologi Elektrik (SKE). Sehingga kini Kolej Komuniti Santubong dapat memenuhi norma pengambilan pelajar untuk SKE pada setiap semester iaitu sebanyak 15 orang per semester. Syarat kemasukan untuk SKE ialah warganegara Malaysia, lulus SPM dan tidak rabun warna. Tempoh pengajian untuk SKE ialah selama 2 tahun (4 semester).

Program Pendidikan Sepanjang hayat

Selain program sepenuh masa, Kolej Komuniti Santubong juga menawarkan program pendidikan sepanjang hayat untuk semua lapisan komuniti. Kursus-kursus pendek yang ditawarkan termasuklah dalam bidang pemasangan elektrik dan elektronik, Pendidikan Islam sepanjang hayat (PISH), pastri, teknologi maklumat dan komunikasi, pengkomputeran, agro-pertanian, jahitan, perakaunan, pembangunan diri, landskap dan lain-lain kursus-kursus permintaan daripada komuniti.

Pengarah
Kolej Komuniti Santubong

Abdullah Latep Bin Mustapha